:: BAB DUABELAS::
Semester baru bermula. Baju kurung, jubah dan tudung labuh dilipat dan digantung kemas di dalam almari besi. Pakaian lain dilipat dan diletak mengikut susunan. Teratur dan kemas. Pewangi Lavender diselit di antara pakaian agar udara segar sentiasa berolak di dalam almarinya. Buku-buku terletak elok di atas meja belajarnya. Komputer riba diletak bersebelahan dengan susunan buku. Sejambak bunga ros merah bersama pasu rona ungu pula diletak di atas meja yang sama untuk menaikkan mood belajarnya kelak. Kemas dan menarik.
Cadar rona ungu berbunga tabur dihampar lembut di atas katil bujangnya. Hujung cadar ditarik dan diselit di bawah tilam agar kelihatan kemas. Sehelai comforter rona yang sama dengan cadar dilipat dan diletak di bawah bantal. Segala-galanya berwarna ungu. Di hamparan yang serba ungu itu, terpalit warna merah hati. Sebiji bantal berbentuk hati terletak elok di atas katil. Pemberian dari seseorang nun jauh di sana. Seringkali ingatan terhadap layanan baik dari Ammar Furqan menjamah kotak fikirannya.
Dek kerana kisah cinta yang tidak kesampaian di antara dia dan Munif Furqan, hatinya masih tertutup rapat untuk menerima cinta. Namun dia yakin lambat laun hatinya akan diisi oleh limpahan cinta dari pemilik kunci hatinya. Cuma perlukan sedikit masa. Acapkali Qaseh marah dan kecewa dengan dirinya yang terlalu mengikut perasaan. Lemahnya dia dengan ujian Allah swt. Hatinya seringkali berlawan dengan nafsu yang sentiasa digoda oleh syaitan. Munif Furqan adalah kenangan.
‘Mengapa mengharapkan cinta dari seorang insani, sedangkan kamu belum cukup menyintai Allah swt!!’, Hatinya tegas bersuara.
Teringat perbualan dengan kedua ibu bapa saat dia menolak lamaran dari Ammar Furqan lewat waktu dulu.
“ Kakak tak boleh terima lamaran lelaki tu. Kakak tak kenal pun siapa dia. Hati kakak belum terbuka untuk terima mana-mana lelaki”, pertama kali Qaseh membantah cakap ibu bapanya.
“ Kakak, setiap ibu bapa nak yang terbaik untuk anak-anak mereka. Ummi tahu kakak tak kenal dan jauh sekali untuk mencintai Ammar Furqan. Tapi dari pandangan mata hati ummi, Ammar bersungguh-sungguh nak jadikan kakak sebagai isterinya. Ummi yakin dia adalah pilihan terbaik untuk menjadi suami kepada kakak dan menantu kepada ummi dan babah. Cinta akan datang lepas kahwin, nak. Lepas dah kahwin, kakak nak bercinta sampai tak ingat dunia pun, tiada orang nak marah. Setiap perlakuan dan tindak tanduk dah halal di sisi agama kita malahan dapat pahala lagi. Bagi ummi, lagi manis bercinta lepas kahwin”, Puan Raudhah menasihati anak sulungnya dengan penuh kesusilaan. Moga hati anaknya lembut dan menerima lamaran dari anak kenalan suaminya itu.
Namun dia hanya mentadbir, tapi Allah swt yang mentakdir segala kehidupan makhluknya. Dengan petunjuk dari Allah swt dan nasihat dari kedua ibu bapanya, Qaseh Ramadhani kini sah menjadi milik Ammar Furqan.
“Assalamu’alaikum”, pintu dibuka dari luar. Segala ingatan terhadap Ammar Furqan diusir pergi.
Mereka berpelukan erat. Melepaskan kerinduan setelah lebih dua bulan mereka tidak ketemu.
“ Best tak pergi umrah?” soalan pertama diaju oleh roomate nya, Diyana.
“ Alhamdulillah. Best bangattttt.. Rindunya nak pergi Mekah lagi”, jawab Qaseh penuh kegembiraan.
“ Subhanallah, berseri-serinya wajah orang baru balik dari Mekah ni. Berseri-seri macam pengantin baru pula”, Diyana memegang kedua-dua belah pipi Qaseh Ramadhani. Diyana sempat meninjau ke arah jari manis Qaseh. Mana tahu tersarung cincin kahwin.
“ Mana ada Dya ni. Biasa-biasa je la”, Qaseh Ramadhani menyembunyikan rasa hatinya. Perkahwinannya dengan Ammar Furqan menjadi rahsianya kini. Belum masanya lagi untuk mendedahkan status sebenar insan bernama Qaseh Ramdhani.
‘Nasib baik tak pakai cincin kahwin, kalau tak free free je kena cerita pasal hal nikah gantung ni. Dulu bukan main jual mahal dengan muslimin kat USM ni. Alih alih kena kahwin paksa kat Mekah,’ gumamnya sendiri. Qaseh menarik nafas lega kerana cincin kahwinnya tersimpan elok di dalam bekas cincin di dalam laci almarinya sebelum dikesan oleh roomatenya.
“ Awak nampak lain la”, giat Diyana lagi sambil mengayakan iklan kosmetik yang pernah ditontonnya di televisyen.
“ Saja la tu. Qaseh dah tahu taktik Dya. Nah, ni hadiah untuk lakonan hebat Dya tadi,” hadiah bertukar tangan.
“ Terima kacihhhhh daun keladi, lain kali nak lagi. Aduhhh baru teringat.. Dya tak solat zohor lagi ni” Diyana segera meletakkan hadiah di meja belajar dan bergegas ke bilik air.
2 comments:
wah....cerita yg best...berbakat besar rupa nyer akak sy nie....tahniah kak...teruskan menulis.....insyaallah boleh menulis novel nti...
terima kasih..siapakah gerangan zahra_alya?(^_^)
Post a Comment