:: BAB SEBELAS::
Dengan izin Allah swt, majlis akad nikah berlangsung dengan penuh kesederhanaan dan hanya dihadiri oleh ahli keluarga Qaseh, ustaz Fadzli, beberapa pegawai tabung haji, dan sahabat-sahabat Amar yang sama-sama menunaikan umrah dengannya. Seorang pegawai konsulat yang sedia hadir setelah diundang sama mengeluarkan sijil pernikahan. Ammar Furqan yang meminta agar akad nikah segera dilangsungkan sebelum  bakal isterinya kembali ke Tanah Air. Walimatul‘urus akan berlangsung di tanah air setelah Ammar Furqan tamat pengajian lima bulan  lagi.
Dengan sekali lafaz, ikatan suami isteri termeterai antara Ammar Furqan dan Qaseh Ramadhani. Kedua-dua mempelai yang memakai jubah rona putih gading tertunduk malu. Qaseh yang dirias cantik kelihatan secocok dengan Ammar yang berjubah lengkap dengan kopiah putih di kepala. Seri pengantin jelas terpancar di wajah mempelai. Sama cantik sama padan. Sesekali mereka akan mengangkat muka apabila disuruh berkali-kali oleh jurukamera yang kurang profesional a.k.a Suchi Ramadhani semasa sesi bergambar. Kenduri kecil-kecilan diadakan di kediaman Syeikh Umair, kenalan Ustaz Fadzli.
Segala-galanya berlaku dengan pantas dan kini Qaseh Ramadhani menjadi milik Ammar Furqan yang sah. Wajah yang dimiliki oleh Ammar seringkali mengingatkan Qaseh kepada seorang muslimin yang pernah bertakhta di hatinya. Allahuakhbar!!! Baru kini dia menyedari bahawa mimpi yang dialami lewat waktu dulu adalah petunjuk yang Allah swt kurniakan kepadanya.
‘Subhanallah..Maha Hebat kuasaMu Ya Rabb.. Doanya di Jabal Rahmah dimakbulkan oleh Allah swt dengan begitu cepat.. Syukur padaMu Ya Rabb.. Walaupun aku tidak mengenali suamiku dan buat masa ini tiada sekelumit rasa cinta terhadapnya , namun aku yakin dengan pilihanMu. Aku mohon agar dia menjadi Imamku sepanjang aku mengemudi kehidupan ini bersama-sama dengannya’, doanya bersungguh-sungguh.
Setelah perbincangan dilakukan, kedua-dua pengantin disuruh agar tidur berasingan sehinggalah walimatul’urus selesai dilangsungkan di tanah air. Qaseh menarik nafas lega mendengar perkhabaran itu. Jauh di sudut hati, dia belum betul-betul bersedia untuk tidur sebilik dengan suaminya. Sebelum majlis akad nikah dilangsungkan, dia bersama Suchi bergegas ke bazar untuk membeli sehelai burqa’ sebagai langkah berjaga-jaga jika dia disuruh untuk tidur bersama suaminya. Dia juga sempat membelikan hadiah kepada suaminya dan dia akan meminta agar suaminya akan memakai hadiah yang dibelinya dan dia pula akan memakai burqa’ untuk mengurangkan perasaan malu yang menebal dan rasa cuak jika mereka diarah tidur sekali.
****************************************

Keesokan harinya, Ammar Furqan meminta izin dari mentuanya untuk membawa Qaseh Ramadhani berziarah di sekitar Makkah sebelum mereka berdua berpisah untuk sementara waktu. ‘Pra-honeymoon’, usulnya kepada mentua. Dalam keterpaksaan, Qaseh akur dengan pelawaan suaminya. Untuk menghilangkan rasa cuak yang mengigit ulu hatinya, Qaseh cuba memujuk kedua-dua adiknya untuk turut serta.
“ Akim, jom ikut kakak pergi jalan-jalan”, Qaseh memujuk Hakim dengan lemah lembut.
“ Ye ye , nak ikut! Nak ikut!”, Hakim melompat kegirangan.
Suchi yang mendengar pelawaan itu segera mencuit bahu adiknya. Isyarat mata mula menjadi medium komunikasi mereka. Mereka telah diminta oleh babah agar tidak ikut serta.
“ Opps..tak boleh lah kakak.. Babah dan ummi dah janji nak bawa Akim dan Angah pergi beli barang untuk dibawa pulang esok”, Hakim menolak pelawaan Qaseh Ramadhani.
Dia akur dengan keputusan kedua-dua adiknya.
‘Hanya Qaseh Ramadhani dan Ammar Furqan..Berjalan berdua-duaan di Makkah’, telahnya di dalam hati. Pelbagai perasaan mula bercampur aduk. Terlayar pantas di matanya adegan tarik menarik roti bawang putih.
 ‘Allahuakhbar!!! Rabbi yassir wala tua’assir’, doanya berkali-kali.
Kedua-duanya berjubah kelabu kehitaman. Hadiah dari babah dan ummi. Mereka melangkah seiringan menyusuri bazar-bazar yang menjual pelbagai jenis barangan. Qaseh banyak berdiam diri dan hanya sesekali bersuara apabila perlu. Ammar Furqan berkali-kali cuba mengajak Qaseh agar berbual denganya. Sesekali Amar Furqan tersenyum melihat kekalutan isterinya di saat menjawab pertanyaan darinya. Rona humaira’ segera tercalit di pipi Qaseh saat tangannya digenggam erat semasa  melintas di jalan raya. Setelah kepenatan, mereka berhenti rehat di kerusi panjang yang ditempatkan di sepanjang lorong bazar. Sambil menikmati roti bawang putih yang masih panas, mata mereka leka memerhati ke arah burung merpati sekawan yang hinggap di pinggiran jalan. Sesekali merpati akan mengerbangkan sayap jika dirapati oleh pengunjung yang ingin merakam aksi mereka.
Setelah menikmati roti bawang putih, mereka menapak dari bazar ke bazar yang lain. Qaseh Ramadhani sedang ralit memilih abaya untuk sahabat baiknya di Malaysia. Untuk Dya satu. Untuk Dina satu. Untuk Ain satu. Qaseh mula membilang. Tiga pasang semuanya. Ammar yang berada di sudut lain pula sedang leka memilih abaya dan sehelai burqa’ untuk dihadiahkan kepada isteri tercintanya.
“ Qaseh tak kan pilih abaya je.. Jubah untuk abang tiada ke?” usik Ammar kepada isterinya.
“ Errrrr..errr..”, Qaseh menyembunyikan rasa cuak yang mula menghuni jiwanya.
“ Abang gurau je. Yang penting abang dah dapat hadiah yang teristimewa dalam hidup abang”, Ammar mengenyit mata ke arah Qaseh. Ditambah dengan lesung pipit yang terhias indah di kanan pipi memaniskan senyuman yang terukir di wajah suaminya. 
‘ Abang?? Eiii.. macam pelik je bunyi. Kenapa nak bahasakan diri dengan panggilan abang, buat luruh jantung je’, bisik hati Qaseh sambil tangannya mengusap-usap dada agar jantungnya kembali berdegup normal.
Suara mua’zzin mengalunkan azan Zohor dengan penuh kesyahduan. Mereka bergegas ke Masjidil Haram untuk menunaikan solat zohor berjemaah. Sesudah solat berjemaah, Ammar memimpin tangan isterinya dan duduk di atas tangga menuju ke dataran marmar menghala ke kaabah. Melihat Kaabah itu sendiri ibadah.
 Apa jua pemandangan yang pernah dilihat sebelum ini tidak dapat memadamkan kehebatan dan keagungan Masjidil Haram atau Masjid Nabi. Hatinya tidak terlepas walau sesaat memuji kebesaran Allah swt dan kesyukuran dipanjatkan kepadaNya di atas segala apa yang berlaku di dalam kehidupannya kini. Kini dia adalah isteri orang dan wajib ke atasnya untuk taat kepada suami yang bernama Ammar Furqan. Qaseh memandang ke wajah suaminya saat namanya dipanggil berkali-kali.
“ Awak tengah fikir apa tu?? Terima kasih awak kerana menjadi pendamping abang.. Di hadapan kaabah ini, dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim abang cintakan Qaseh Ramadhani. Abang tahu Qaseh belum dapat menerima abang dan ikatan ini. Kita kahwin pun secara mendadak. Dan abang juga tahu pintu hati Qaseh belum terbuka untuk menerima cinta dari abang. Namun abang yakin lambat laun Qaseh akan menyayangi abang. Moga ikatan ini diberkati Allah swt”, bicara Ammar Furqan panjang lebar sambil matanya memandang ke arah Kaabah. Berlahan-lahan dia mencapai jari jemari Qaseh dan mengenggam erat agar isterinya dapat sama-sama merasai perasaan yang terbuku di hatinya.  Dia akan cuba membongkar isi hati isterinya dan berkenalan dengan lebih dekat agar keserasian wujud di antara mereka.
Cincin emas yang tersarung di jari manisnya dipicit lembut agar dengan cara itu dapat mengembalikan sedikit sebanyak kekuatan untuk berkomunikasi dengan pemuda di sebelahnya.
“ Errrr.. kakak tak tahu nak cakap apa”, terketar-ketar suara yang keluar dari peti suara Qaseh Ramadhani.
‘ Aikkk.. macam mana boleh tersasul ni.. Tak kan dengan dia pun nak dibahasakan diri dengan panggilan ‘kakak’. Kalau dengan babah, ummi, uchi dan akim, itu lain cerita.” gumam Qaseh lagi.
Terkesan dengan rona merah yang terbit di kedua-dua belah pipi isterinya, Amar tersenyum simpul.
“ Kalutnya isteri ana ni.” Dia berbisik di telinga isterinya.
“ Merahnya pipi isteri abang ni. Guna blusher cap apa ni??” giatnya lagi.
“ Guna blusher cap ayam”, tak semena-mena sebaris jawapan spontan keluar dari mulut mungil isterinya. Ammar ketawa dengan reaksi balas isterinya.
********************************************
Sekitar jam 12 tengahari En.Ismail Zawawi sekeluarga bertawaf wida’ dan menantunya khusyuk melekatkan diri di Multazam. Waktu berdoa di Multazam, Qaseh menangis teresak. Mohonnya agar Allah swt mengundangnya lagi ke sini. Pintanya agar Allah swt sentiasa mencucuri rahmat ke atas keluarganya dan seluruh umat islam. Mintanya agar pintu hatinya terbuka untuk menerima cinta dari kekasih halalnya. Doanya juga agar kebahagiaan dan ketenangan sentiasa mewarnai kehidpan berumahtangga yang dibina dua hari lepas dan dikurniakan zuriat yang soleh solehah yang akan menjadi matarantai-matarantai perjuangan Nabi Muhammad saw. Amin Ya Rabb.
Ammar Furqan mengiringi keluarga mentuanya ke bas. Tangan kasar dikucup lembut oleh isterinya. Amar membalas dengan menghadiahi satu kucupan mesra di dahi Qaseh Ramadhani. Qaseh Ramadhani tertunduk malu. Pelbagai perasaan mula bercampur aduk.
Kaki mula memijak anak tangga bas dan lambat lambat bas itu bergerak. Qaseh mengintai dari tingkap bas, melambai ke arah suaminya. Lambaian berbalas. Imej suaminya semakin mengecil dan dia meramas lembut bungkusan yang dihulurkan oleh suaminya sebelum mereka berpisah tadi.