:: BAB DUABELAS::


Semester baru bermula. Baju kurung, jubah dan tudung labuh dilipat dan digantung kemas di dalam almari besi. Pakaian lain dilipat dan diletak mengikut susunan. Teratur dan kemas. Pewangi Lavender diselit di antara pakaian agar udara segar sentiasa berolak di dalam almarinya. Buku-buku terletak elok di atas meja belajarnya. Komputer riba diletak bersebelahan dengan susunan buku. Sejambak bunga ros merah bersama pasu rona ungu pula diletak di atas meja yang sama untuk menaikkan mood belajarnya kelak. Kemas dan menarik.


Cadar rona ungu berbunga tabur dihampar lembut di atas katil bujangnya. Hujung cadar ditarik dan diselit di bawah tilam agar kelihatan kemas. Sehelai comforter rona yang sama dengan cadar dilipat dan diletak di bawah bantal. Segala-galanya berwarna ungu. Di hamparan yang serba ungu itu, terpalit warna merah hati. Sebiji bantal berbentuk hati terletak elok di atas katil. Pemberian dari seseorang nun jauh di sana. Seringkali ingatan terhadap layanan baik dari Ammar Furqan menjamah kotak fikirannya.


Dek kerana kisah cinta yang tidak kesampaian di antara dia dan Munif Furqan, hatinya masih tertutup rapat untuk menerima cinta. Namun dia yakin lambat laun hatinya akan diisi oleh limpahan cinta dari pemilik kunci hatinya. Cuma perlukan sedikit masa. Acapkali Qaseh marah dan kecewa dengan dirinya yang terlalu mengikut perasaan. Lemahnya dia dengan ujian Allah swt. Hatinya seringkali berlawan dengan nafsu yang sentiasa digoda oleh syaitan. Munif Furqan adalah kenangan.


‘Mengapa mengharapkan cinta dari seorang insani, sedangkan kamu belum cukup menyintai Allah swt!!’, Hatinya tegas bersuara.


Teringat perbualan dengan kedua ibu bapa saat dia menolak lamaran dari Ammar Furqan lewat waktu dulu.


“ Kakak tak boleh terima lamaran lelaki tu. Kakak tak kenal pun siapa dia. Hati kakak belum terbuka untuk terima mana-mana lelaki”, pertama kali Qaseh membantah cakap ibu bapanya.


“ Kakak, setiap ibu bapa nak yang terbaik untuk anak-anak mereka. Ummi tahu kakak tak kenal dan jauh sekali untuk mencintai Ammar Furqan. Tapi dari pandangan mata hati ummi, Ammar bersungguh-sungguh nak jadikan kakak sebagai isterinya. Ummi yakin dia adalah pilihan terbaik untuk menjadi suami kepada kakak dan menantu kepada ummi dan babah. Cinta akan datang lepas kahwin, nak. Lepas dah kahwin, kakak nak bercinta sampai tak ingat dunia pun, tiada orang nak marah. Setiap perlakuan dan tindak tanduk dah halal di sisi agama kita malahan dapat pahala lagi. Bagi ummi, lagi manis bercinta lepas kahwin”, Puan Raudhah menasihati anak sulungnya dengan penuh kesusilaan. Moga hati anaknya lembut dan menerima lamaran dari anak kenalan suaminya itu.


Namun dia hanya mentadbir, tapi Allah swt yang mentakdir segala kehidupan makhluknya. Dengan petunjuk dari Allah swt dan nasihat dari kedua ibu bapanya, Qaseh Ramadhani kini sah menjadi milik Ammar Furqan.


“Assalamu’alaikum”, pintu dibuka dari luar. Segala ingatan terhadap Ammar Furqan diusir pergi.


Mereka berpelukan erat. Melepaskan kerinduan setelah lebih dua bulan mereka tidak ketemu.


“ Best tak pergi umrah?” soalan pertama diaju oleh roomate nya, Diyana.


“ Alhamdulillah. Best bangattttt.. Rindunya nak pergi Mekah lagi”, jawab Qaseh penuh kegembiraan.


“ Subhanallah, berseri-serinya wajah orang baru balik dari Mekah ni. Berseri-seri macam pengantin baru pula”, Diyana memegang kedua-dua belah pipi Qaseh Ramadhani. Diyana sempat meninjau ke arah jari manis Qaseh. Mana tahu tersarung cincin kahwin.


“ Mana ada Dya ni. Biasa-biasa je la”, Qaseh Ramadhani menyembunyikan rasa hatinya. Perkahwinannya dengan Ammar Furqan menjadi rahsianya kini. Belum masanya lagi untuk mendedahkan status sebenar insan bernama Qaseh Ramdhani.


‘Nasib baik tak pakai cincin kahwin, kalau tak free free je kena cerita pasal hal nikah gantung ni. Dulu bukan main jual mahal dengan muslimin kat USM ni. Alih alih kena kahwin paksa kat Mekah,’ gumamnya sendiri. Qaseh menarik nafas lega kerana cincin kahwinnya tersimpan elok di dalam bekas cincin di dalam laci almarinya sebelum dikesan oleh roomatenya.


“ Awak nampak lain la”, giat Diyana lagi sambil mengayakan iklan kosmetik yang pernah ditontonnya di televisyen.


“ Saja la tu. Qaseh dah tahu taktik Dya. Nah, ni hadiah untuk lakonan hebat Dya tadi,” hadiah bertukar tangan.


“ Terima kacihhhhh daun keladi, lain kali nak lagi. Aduhhh baru teringat.. Dya tak solat zohor lagi ni” Diyana segera meletakkan hadiah di meja belajar dan bergegas ke bilik air.



:: BAB SEBELAS::
Dengan izin Allah swt, majlis akad nikah berlangsung dengan penuh kesederhanaan dan hanya dihadiri oleh ahli keluarga Qaseh, ustaz Fadzli, beberapa pegawai tabung haji, dan sahabat-sahabat Amar yang sama-sama menunaikan umrah dengannya. Seorang pegawai konsulat yang sedia hadir setelah diundang sama mengeluarkan sijil pernikahan. Ammar Furqan yang meminta agar akad nikah segera dilangsungkan sebelum  bakal isterinya kembali ke Tanah Air. Walimatul‘urus akan berlangsung di tanah air setelah Ammar Furqan tamat pengajian lima bulan  lagi.
Dengan sekali lafaz, ikatan suami isteri termeterai antara Ammar Furqan dan Qaseh Ramadhani. Kedua-dua mempelai yang memakai jubah rona putih gading tertunduk malu. Qaseh yang dirias cantik kelihatan secocok dengan Ammar yang berjubah lengkap dengan kopiah putih di kepala. Seri pengantin jelas terpancar di wajah mempelai. Sama cantik sama padan. Sesekali mereka akan mengangkat muka apabila disuruh berkali-kali oleh jurukamera yang kurang profesional a.k.a Suchi Ramadhani semasa sesi bergambar. Kenduri kecil-kecilan diadakan di kediaman Syeikh Umair, kenalan Ustaz Fadzli.
Segala-galanya berlaku dengan pantas dan kini Qaseh Ramadhani menjadi milik Ammar Furqan yang sah. Wajah yang dimiliki oleh Ammar seringkali mengingatkan Qaseh kepada seorang muslimin yang pernah bertakhta di hatinya. Allahuakhbar!!! Baru kini dia menyedari bahawa mimpi yang dialami lewat waktu dulu adalah petunjuk yang Allah swt kurniakan kepadanya.
‘Subhanallah..Maha Hebat kuasaMu Ya Rabb.. Doanya di Jabal Rahmah dimakbulkan oleh Allah swt dengan begitu cepat.. Syukur padaMu Ya Rabb.. Walaupun aku tidak mengenali suamiku dan buat masa ini tiada sekelumit rasa cinta terhadapnya , namun aku yakin dengan pilihanMu. Aku mohon agar dia menjadi Imamku sepanjang aku mengemudi kehidupan ini bersama-sama dengannya’, doanya bersungguh-sungguh.
Setelah perbincangan dilakukan, kedua-dua pengantin disuruh agar tidur berasingan sehinggalah walimatul’urus selesai dilangsungkan di tanah air. Qaseh menarik nafas lega mendengar perkhabaran itu. Jauh di sudut hati, dia belum betul-betul bersedia untuk tidur sebilik dengan suaminya. Sebelum majlis akad nikah dilangsungkan, dia bersama Suchi bergegas ke bazar untuk membeli sehelai burqa’ sebagai langkah berjaga-jaga jika dia disuruh untuk tidur bersama suaminya. Dia juga sempat membelikan hadiah kepada suaminya dan dia akan meminta agar suaminya akan memakai hadiah yang dibelinya dan dia pula akan memakai burqa’ untuk mengurangkan perasaan malu yang menebal dan rasa cuak jika mereka diarah tidur sekali.
****************************************

Keesokan harinya, Ammar Furqan meminta izin dari mentuanya untuk membawa Qaseh Ramadhani berziarah di sekitar Makkah sebelum mereka berdua berpisah untuk sementara waktu. ‘Pra-honeymoon’, usulnya kepada mentua. Dalam keterpaksaan, Qaseh akur dengan pelawaan suaminya. Untuk menghilangkan rasa cuak yang mengigit ulu hatinya, Qaseh cuba memujuk kedua-dua adiknya untuk turut serta.
“ Akim, jom ikut kakak pergi jalan-jalan”, Qaseh memujuk Hakim dengan lemah lembut.
“ Ye ye , nak ikut! Nak ikut!”, Hakim melompat kegirangan.
Suchi yang mendengar pelawaan itu segera mencuit bahu adiknya. Isyarat mata mula menjadi medium komunikasi mereka. Mereka telah diminta oleh babah agar tidak ikut serta.
“ Opps..tak boleh lah kakak.. Babah dan ummi dah janji nak bawa Akim dan Angah pergi beli barang untuk dibawa pulang esok”, Hakim menolak pelawaan Qaseh Ramadhani.
Dia akur dengan keputusan kedua-dua adiknya.
‘Hanya Qaseh Ramadhani dan Ammar Furqan..Berjalan berdua-duaan di Makkah’, telahnya di dalam hati. Pelbagai perasaan mula bercampur aduk. Terlayar pantas di matanya adegan tarik menarik roti bawang putih.
 ‘Allahuakhbar!!! Rabbi yassir wala tua’assir’, doanya berkali-kali.
Kedua-duanya berjubah kelabu kehitaman. Hadiah dari babah dan ummi. Mereka melangkah seiringan menyusuri bazar-bazar yang menjual pelbagai jenis barangan. Qaseh banyak berdiam diri dan hanya sesekali bersuara apabila perlu. Ammar Furqan berkali-kali cuba mengajak Qaseh agar berbual denganya. Sesekali Amar Furqan tersenyum melihat kekalutan isterinya di saat menjawab pertanyaan darinya. Rona humaira’ segera tercalit di pipi Qaseh saat tangannya digenggam erat semasa  melintas di jalan raya. Setelah kepenatan, mereka berhenti rehat di kerusi panjang yang ditempatkan di sepanjang lorong bazar. Sambil menikmati roti bawang putih yang masih panas, mata mereka leka memerhati ke arah burung merpati sekawan yang hinggap di pinggiran jalan. Sesekali merpati akan mengerbangkan sayap jika dirapati oleh pengunjung yang ingin merakam aksi mereka.
Setelah menikmati roti bawang putih, mereka menapak dari bazar ke bazar yang lain. Qaseh Ramadhani sedang ralit memilih abaya untuk sahabat baiknya di Malaysia. Untuk Dya satu. Untuk Dina satu. Untuk Ain satu. Qaseh mula membilang. Tiga pasang semuanya. Ammar yang berada di sudut lain pula sedang leka memilih abaya dan sehelai burqa’ untuk dihadiahkan kepada isteri tercintanya.
“ Qaseh tak kan pilih abaya je.. Jubah untuk abang tiada ke?” usik Ammar kepada isterinya.
“ Errrrr..errr..”, Qaseh menyembunyikan rasa cuak yang mula menghuni jiwanya.
“ Abang gurau je. Yang penting abang dah dapat hadiah yang teristimewa dalam hidup abang”, Ammar mengenyit mata ke arah Qaseh. Ditambah dengan lesung pipit yang terhias indah di kanan pipi memaniskan senyuman yang terukir di wajah suaminya. 
‘ Abang?? Eiii.. macam pelik je bunyi. Kenapa nak bahasakan diri dengan panggilan abang, buat luruh jantung je’, bisik hati Qaseh sambil tangannya mengusap-usap dada agar jantungnya kembali berdegup normal.
Suara mua’zzin mengalunkan azan Zohor dengan penuh kesyahduan. Mereka bergegas ke Masjidil Haram untuk menunaikan solat zohor berjemaah. Sesudah solat berjemaah, Ammar memimpin tangan isterinya dan duduk di atas tangga menuju ke dataran marmar menghala ke kaabah. Melihat Kaabah itu sendiri ibadah.
 Apa jua pemandangan yang pernah dilihat sebelum ini tidak dapat memadamkan kehebatan dan keagungan Masjidil Haram atau Masjid Nabi. Hatinya tidak terlepas walau sesaat memuji kebesaran Allah swt dan kesyukuran dipanjatkan kepadaNya di atas segala apa yang berlaku di dalam kehidupannya kini. Kini dia adalah isteri orang dan wajib ke atasnya untuk taat kepada suami yang bernama Ammar Furqan. Qaseh memandang ke wajah suaminya saat namanya dipanggil berkali-kali.
“ Awak tengah fikir apa tu?? Terima kasih awak kerana menjadi pendamping abang.. Di hadapan kaabah ini, dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim abang cintakan Qaseh Ramadhani. Abang tahu Qaseh belum dapat menerima abang dan ikatan ini. Kita kahwin pun secara mendadak. Dan abang juga tahu pintu hati Qaseh belum terbuka untuk menerima cinta dari abang. Namun abang yakin lambat laun Qaseh akan menyayangi abang. Moga ikatan ini diberkati Allah swt”, bicara Ammar Furqan panjang lebar sambil matanya memandang ke arah Kaabah. Berlahan-lahan dia mencapai jari jemari Qaseh dan mengenggam erat agar isterinya dapat sama-sama merasai perasaan yang terbuku di hatinya.  Dia akan cuba membongkar isi hati isterinya dan berkenalan dengan lebih dekat agar keserasian wujud di antara mereka.
Cincin emas yang tersarung di jari manisnya dipicit lembut agar dengan cara itu dapat mengembalikan sedikit sebanyak kekuatan untuk berkomunikasi dengan pemuda di sebelahnya.
“ Errrr.. kakak tak tahu nak cakap apa”, terketar-ketar suara yang keluar dari peti suara Qaseh Ramadhani.
‘ Aikkk.. macam mana boleh tersasul ni.. Tak kan dengan dia pun nak dibahasakan diri dengan panggilan ‘kakak’. Kalau dengan babah, ummi, uchi dan akim, itu lain cerita.” gumam Qaseh lagi.
Terkesan dengan rona merah yang terbit di kedua-dua belah pipi isterinya, Amar tersenyum simpul.
“ Kalutnya isteri ana ni.” Dia berbisik di telinga isterinya.
“ Merahnya pipi isteri abang ni. Guna blusher cap apa ni??” giatnya lagi.
“ Guna blusher cap ayam”, tak semena-mena sebaris jawapan spontan keluar dari mulut mungil isterinya. Ammar ketawa dengan reaksi balas isterinya.
********************************************
Sekitar jam 12 tengahari En.Ismail Zawawi sekeluarga bertawaf wida’ dan menantunya khusyuk melekatkan diri di Multazam. Waktu berdoa di Multazam, Qaseh menangis teresak. Mohonnya agar Allah swt mengundangnya lagi ke sini. Pintanya agar Allah swt sentiasa mencucuri rahmat ke atas keluarganya dan seluruh umat islam. Mintanya agar pintu hatinya terbuka untuk menerima cinta dari kekasih halalnya. Doanya juga agar kebahagiaan dan ketenangan sentiasa mewarnai kehidpan berumahtangga yang dibina dua hari lepas dan dikurniakan zuriat yang soleh solehah yang akan menjadi matarantai-matarantai perjuangan Nabi Muhammad saw. Amin Ya Rabb.
Ammar Furqan mengiringi keluarga mentuanya ke bas. Tangan kasar dikucup lembut oleh isterinya. Amar membalas dengan menghadiahi satu kucupan mesra di dahi Qaseh Ramadhani. Qaseh Ramadhani tertunduk malu. Pelbagai perasaan mula bercampur aduk.
Kaki mula memijak anak tangga bas dan lambat lambat bas itu bergerak. Qaseh mengintai dari tingkap bas, melambai ke arah suaminya. Lambaian berbalas. Imej suaminya semakin mengecil dan dia meramas lembut bungkusan yang dihulurkan oleh suaminya sebelum mereka berpisah tadi.


:: BAB SEPULUH::
Bumi Makkah menunjukkan jam 4.30 pagi. En. Ismail Zawawi sekeluarga mula melangkah menuju ke Masjidil Haram. Suasana yang hening di Masjidil Haram menambahkan kesayuan di hati Qaseh Ramadhani. Dia melakukan solat sunat dan berdoa di multazam. Setiap saat diisi dengan ibadah kepadaNya. Jemaah lain sibuk mencari saf, ada yang mengenakan pelbagai jubah pelbagai warna termasuk wanita Iran yang berpakaian agak ranggi atau wanita Timur Tengah yang berkerudung litup. Baitullah menjadi pusat penyatuan ummah di mana pelbagai pelusuk negara berkumpul untuk melaksanakan Rukum Islam yang kelima. Subhanallah Maha Suci Allah. Mua’zzin mula mengalunkan azan Subuh dengan penuh tertib dan memberi kedamaian kepada sesiapa yang mendengarnya.
Sesudah menunaikan solat subuh berjemaah, Puan Raudhah berserta dua anak perempuan menunggu suami dan anak lelakinya di hadapan Babul Fattah. Setelah beberapa minit, kelibat En. Zawawi Ismail mendekati isteri dan dua anak perempuannya. Di sampingnya kelihatan seorang pemuda yang berjubah lengkap dengan serban melilit di kepala. Suchi Ramadhani memberi isyarat dengan mengangkat kening double-jerk  kepada kakaknya. Qaseh Ramadhani tunduk memandang lantai masjid sambil beristighfar.
Setelah disoal siasat dengan begitu terperinci oleh umminya a.k.a Inspektor Raudhah (^_^), barulah diketahui bahawa pemuda  yang berjalan seiring babahnya merupakan anak kenalan babahnya semasa berkhidmat di dalam Angkatan Tentera Malaysia. Pemuda tersebut merupakan pelajar Sarjana Islamic Economy & Banking dari Universiti Islam Madinah. Menurutnya juga, dia kini hanya mempunyai nenek dan seorang abang setelah kedua ibu bapanya meninggal di dalam satu nahas jalan raya lima tahun lepas.
Qaseh Ramadhani yang berdiam diri sesekali mengerling ke arah pemuda tersebut.
‘Adusss..Macamana boleh berjumpa dengan mamat Garlic Bread ni lagi.. huk huk huk.. Bua malu je pasal hari tu. Dah lah mukanya iras-iras ...’, Qaseh tersentak sebaik sahaja ditegur oleh adiknya, Hakim Zawawi.
Mereka  melewati jalan menghala ke Restoran Pattani yang bersebelah dengan Elaf Kindah. Kelihatan ramai jemaah Nusantara berkumpul di hadapan Abdul Aziz Khooger Palace. Merpati berterbangan dan hinggap semula di pinggiran jalan.
 En.Ismail Zawawi sekeluarga bersarapan di Restoran Pattani setelah diajak beberapa kali oleh pemuda tersebut. Sambil menikmati makanan, En. Ismail Zawawi mengimbau kenangan manis dan pahit yang dilakar bersama dengan Arwah Mustaza, ayah pemuda tersebut.
************************************************
Selepas menyudahkan solat sunat dan berdoa di Multazam, Ammar Furqan mendekati En. Ismail Zawawi yang sedang memperbetulkan tajwid Surah Muhammad yang dibaca oleh anak lelakinya. En. Ismail Zawawi terpandang kelibat Ammar Furqan seraya tersenyum kepadanya.
“ Assalamualaikum pak cik”, Ammar Furqan memulakan bicara.
“ Waalaikumussalam Ammar”, jawab En. Ismail Zawawi seusai menyudahkan bacaan Al-Quran.
“ Pak cik, minta maaf kerana menganggu pak cik. Saya ada perkara penting yang memerlukan perbincangan dan persetujuan dari Pak cik”, Ammar Furqan menyembunyikan rasa gugup yang menghuni dirinya sejak peristiwa di bazar roti tempoh hari. 
“ InsyaAllah boleh”, jawab En. Ismail Zawawi.
“ Bismillahirrahmanirrahim.. Sebenarnya saya berhajat untuk melamar anak  perempuan pak cik, Qaseh Ramadhani. Minta maaf kerana saya terlalu berterus terang dan tidak mengikut adat yang sepatutnya. Tapi setelah saya yakin dengan petunjuk yang diilhamkan oleh Allah swt kepada saya, saya bertekad untuk bertemu dan berterus terang dengan pak cik”, butir bicaranya jelas di pendengaran En. Zawawi Ismail. En. Ismail Zawawi yang agak terkejut menarik nafas yang panjang.
“ Macam mana Ammar boleh terpikat dengan anak pak cik walhal Ammar tak pernah pun bercakap dengannya”, aju En. Islmail Zawawi dengan penuh tanda tanya.
“ Pak Cik, sebenarnya saya dah lihat wajah anak Pak Cik sebelum kita bertemu di sini,” jelas Ammar Furqan.
Ammar Furqan menjelaskan kepada En. Ismail Zawawi perihal abangnya yang mengutus surat dan menceritakan segala-galanya tentang keperibadian dan akhlak yang dimiliki oleh gadis bernama Qaseh Ramadhani.  Abangnya yang bertemu jodoh dengan muslimah lain terpaksa berundur diri dari ikatan hati yang terikat antara dia dan Qaseh Ramadhani.
“ Bersama-sama dengan surat itu, abang saya juga ada kirimkan gambar Qaseh dan berharap agar saya dapat menjadi pemimpin Qaseh kelak”, jelas Ammar Furqan seraya meletakkan surat dan sekeping gambar  di telapak tangan En.Ismail Zawawi. Di dalam gambar  tersebut, kelihatan anak gadisnya yang tersenyum manis sedang berdiri  bersama-sama dengan beberapa rakan siswa siswazah yang memakai baju batik yang sama corak dan warna. Gambar yang sama pernah ditunjuki oleh Qaseh kepada mereka sekeluarga  sebelum ini. Seingat-ingatnya, gambar Qaseh bersama dengan pimpinan persatuan di universiti tempat anak gadisnya belajar.
“Alhamdulillah, setelah dua bulan saya melakukan solat sunat hajat dan istikharah, Allah telah memakbulkan doa saya. Syukur alhamdulillah, saya bertemu dengan anak pak cik di Tanah Suci ini,” Setiap tutur katanya sentiasa disusuli dengan puji-pujian kepada Allah swt. Hatinya tenang setelah menceritakan isi hati kepada bakal ayah mertuanya. (^_^).
Suasana menjadi senyap seketika. En.Ismail Zawawi menenangkan diri dan mula berfikir secara rasional. Segala tindak tanduk dan keputusan yang akan dibuat akan mempengaruhi kehidupan anak gadisnya kelak.
“ Ermm.. susah untuk pak cik bagitahu keputusannya sekarang. Nanti pak cik akan berbincang dengan mak cik. Tapi yang perlu Ammar tahu selama dua hari pak cik kenal Ammar, pak cik dah mula berkenan dengan keperibadian Ammar”, jawab En.Ismail Zawawi dengan tenang seraya menyedekah sebaris  senyuman ikhlas kepada pemuda yang bersila di hadapannya .
“ Alhamdulillah.. Terima kasih pak cik..Saya akan menunggu jawapan dari Pak Cik.. Minta maaf jika saya terlanjur kata sepanjang perbincangan kita tadi. Saya minta diri dulu.. Assalamualaikum”, Ammar menarik nafas lega setelah keinginan hatinya dirungkai kepada ayah si gadis idaman hati.
Di lobi Hotel Qutbah Barakkah, En. Ismail Zawawi memulakan sesi perbincangan bersama isterinya. Setelah mencapai kata sepakat, mereka mula menyusun ayat untuk menyampaikan lamaran Ammar Furqan kepada anak gadis mereka.

:: BAB SEMBILAN::

Cuti semester kali ini amat bermakna buat Qaseh Ramadhani. Umrah yang akan dilakukan bersama babah, ummi dan dua adiknya, Suchi dan Hakim akan menjadi sebuah kenangan yang terlalu mahal harganya.

Tersedar dari lena, mulut Qaseh kembali terkumat-kamit mengalunkan zikir.  Matanya melilau melihat kebesaran Allah swt dari luar tingkap bas yang dinaikinya. Sungguhpun bas yang dinaiki oleh Qaseh dan jemaah umrah yang lain laju membelah jalan, Qaseh sempat memerhatikan keadaan kiri dan kanan jalan. Kelihatan bukit-bukit berbatu yang tiada berpokok di sepanjang jalan. Hanya sesekali kelihatan kawasan berumput yang jarang-jarang  dan ditumbuhi pokok kecil yang berduri-duri. Namun dengan kekuasaan Allah swt, ternakan seperti kambing biri-biri, keldai dan sebagainya membesar dengan baik. Montel-montel semuanya (^_^). Kalimah Subhanallah acapkali terucap di bibir Qaseh sambil menikmati keindahan ciptaanNya di sepanjang perjalanan menuju Tanah Haram.

 Imej papan tanda yang semakin membesar dan jelas tertulis perkataan “Sempadan Tanah Haram” melonjakkan rasa gembira dan kesyukuran di hati Qaseh.

 “ Ya Allah, Kau permudahkanlah urusan aku dan ahli jemaah yang lain”, doa Qaseh perlahan.

“ Uchi, bangun. Kita dah nak sampai ni”. Qaseh mengejutkan adik perempuannya yang masih lena.

*****************************************************

Sebaik melangkah memasuki Masjidil Haram melalui Babus Salam, titisan air mata mula berjurai  menuruni pipinya. Sebaik terpandang Kaabah, mereka terus bertakbir, bertalbiah, berdoa dan memulakan tawaf.  Kesyahduan amat terasa tatkala memandang Baitullah. Tak terucap dengan kata-kata bahawa hatinya sangat tenang ketika ini.

 ‘Alhamdulillah, syukur Ya Rabb kerana di usia muda ini, aku berpeluang menjadi tetamuMu’ , Qaseh berdoa penuh kesyukuran.

Selepas tawaf, Qaseh ingin mengucup hajarulaswad tapi tidak berjaya kerana orang terlalu ramai. Walaubagaimanapun Qaseh tidak berputus asa, dia akan mencuba lagi. Setelah bersembahyang sunat di Makam Ibrahim dan Hijr Ismail, En. Ismail Zawawi sekeluarga memulakan sa’ei dari Bukit Safa ke Bukit Marwah tujuh kali pergi dan balik. Sambil berjalan, Qaseh berdoa memohon Allah swt agar ditetapkan imannya, iman ahli keluarganya dan memberikan mereka kebaikan dunia dan akhirat. Setiap saat diisi dengan alunan zikir dan surah-surah pilihan  dari kitab suci Al-Furqan yang dihafalnya. Beribu-ribu orang sedang sa’ei. Ada yang terpaksa dipapah dan ada yang terpaksa diusung kerana terlalu tua lagi uzur.

 Jika terasa penat, mereka akan berhenti sekejap untuk menikmati air zam zam yang disediakan di sepanjang lorong dari Bukit Safa ke Bukit Marwah. Selepas melaksanakan ibadat sa’ei, En. Ismail Zawawi sekeluarga memulakan tahalul dengan menggunting beberapa helai rambut dengan menggunakan gunting yang sudah sedia dibawa.

************************************************

Selepas bersarapan, En. Ismail Zawawi sekeluarga dan ahli kumpulan yang lain berziarah di sekitar Makkah. Ustaz Fadzli yang mengetuai rombongan membawa mereka mengunjungi Padang Arafah. Bas mula berhenti di kaki Jabal Rahmah. Kelihatan sebuah tugu simbol pertemuan Nabi Adam a.s dan Hawa berdiri teguh di puncak Jabal Rahmah dan puncak tugu berbalam-balam dek terik matahari yang menyinari.

 Sebaik turun, mereka dihimpit oleh beberapa peniaga Arab Badwi yang sibuk mendesak agar membeli minyak atar yang didakwanya wangian Hajaratul Aswad dan bermacam lagi. Suchi dan Hakim yang baru turun dari bas bergegas menghampiri beberapa gembala dengan unta terhias cantik di sisi. Kegirangan jelas terpancar di wajah mereka.

“ Hakim Zawawi.. Suchi Ramadhani.. Jangan pergi dulu”, tegah Puan Raudhah kepada adik-adik Qaseh  yang berlari anak ke arah unta yang terhias cantik . Nada suara yang kedengaran serius mematikan derap langkah anak-anaknya. Suchi dan Hakim kembali merapati babah, ummi dan kakak mereka, Qaseh Ramadhani.

Mereka mula mendaki ke puncak Jabal Rahmah bersama ahli kumpulan yang lain. Sesekali mereka bergeselan dengan jemaah Turki yang terburu-buru memanjat bukit itu. Teringat kata-kata Ustaz Fadzli sebelum mereka memulakan pendakian.

“ Di Padang Arafah inilah tempat pertemuan kembali Nabi Adam a.s dengan isteri baginda, Siti Hawa a.s. setelah mereka diturunkan ke muka bumi ini. InsyaAllah, sesiapa yang susah jumpa jodoh atau yang sedang dalam proses pencarian calon, berdoalah di Jabal Rahmah, mudah-mudahan Allah swt memaqbulkan doa kalian.. Aminn..”.

Tiba di puncak, kami mengambil beberapa foto keluarga untuk dijadikan koleksi kenang kenangan seusai pulang ke tanah air nanti.

“ Babah rasa kan elok juga kalau Akim berdoa di sini. Mudah-mudahan jodoh Akim cepat sampai, tak lah babah nak kena tunggu bertahun-tahun baru babah boleh timang cucu babah sendiri”, gurau En. Ismail Zawawi sambil menyiku bahu anak bongsunya, Hakim Zawawi.

“ Apalah babah ni, umur Akim baru tujuh tahun. Takkan nak kena berdoa minta dipertemukan jodoh. Entah-entah babah yang khusyuk berdoa moga-moga dipertemukan jodoh dengan “ummi junior” kan?kan?..hehehe..Akim nak report kat ummi senior”, Hakim Zawawi semakin galak mengusik babahnya.

Di sisi lain, kelihatan Qaseh khusyuk memerhati kawasan di sekeliling Jabal Rahmah. Kekaguman terpancar di wajah polosnya. Setelah menghadap ke arah Masjidil Haram, Qaseh menitipkan doa kepada Allah swt agar dipertemukan dia dengan jodoh yang soleh.

“ Ya Allah, berilah petunjuk kepadaku agar aku mengetahui siapakah pendampingku kelak. Moga jodohku nanti dapat membimbing aku untuk terus kekal di jalanMu. Aku mohon agar aku akan bertemu jodoh di usia muda kerana aku yakin dengan janjiMu di mana wanita yang berkahwin dan memperolehi zuriat di usia muda adalah wanita yang diberkati. Moga aku salah seorang dari kalangan wanita yang diberkati. Amin amin Ya Rabbala’lamin”

Ketenangan menghuni lubuk hati Qaseh seusai doa dipanjatkan kepada Yang Maha Mendengar. Terik matahari mula menikam hingga ke epidermis. Hakim  yang kelihatan keluh kesah mula merengek dan berkali-kali menarik hujung telekung Puan Raudhah agar segera turun dari puncak Jabal Rahmah. Mereka terpaksa akur memandangkan sejak dari kecil, Hakim tidak betah untuk berada lama di bawah sinaran matahari yang garang memancar.

Waktu berpaut-paut untuk turun dari Jabal Rahmah, Qaseh berpapasan dengan seorang pemuda yang pernah  dijumpai di Madinah lewat tempoh hari. Wajah yang dimiliki oleh pemuda tersebut mengingatkan dia kepada seseorang.  Adiknya, Suchi Ramadhani yang terpandang wajah pemuda tersebut mula menyiku lengan kakaknya. Peristiwa yang berlaku di kedai pak arab kembali menerjah di fikirannya. 

“ How much this bread?” aju Qaseh sambil memegang hujung “ Garlic Bread” yang tinggal hanya sebuku.

‘Alhamdulillah, dah lama tak merasa keenakan roti bawang putih ni. Memang favorite forever and ever lah’, senyuman tersimpul di bibirnya. Hajatnya tercapai untuk menjamah roti yang sudah lama tidak dirasainya.  

Namun tidak semena-mena, seorang pemuda bertanyakan soalan yang sama kepada peniaga tersebut seraya memegang di bahagian tengah “ Garlic Bread” itu. Kerutan di wajah Qaseh mulai kelihatan. Adegan tarik menarik roti bawang putih mula berlaku di antara Qaseh dan pemuda tersebut. Kedua-duanya yang merupakan “GarlicBreadmania” tidak mahu mengalah antara satu sama lain.

“ Brother.. Sister.. can both of you stop fighting? I suggest that this bread  divides two part and each of you can get one part of this bread”, kata-kata yang diucapkan oleh peniaga Pak Arab itu jelas berbelit nahunya. Namun dengan kata-kata tersebut telah mengembalikan fikiran waras Qaseh. Mereka segera menamatkan aksi luar kawalan yang dilakonkan sebentar tadi.

“ Astaghfirullahala’zim, macam mana boleh beraksi style budak darjah satu ni”, Qaseh mula mengawal emosi. Malu mula menerjah dan  menguasai jiwanya. Tanpa sempat membeli roti, Qaseh mula melangkah ke arah adik-adiknya yang sedang leka memilih jubah di gerai pakaian berdekatan.

Dalam kelekaan memilih jubah yang sesuai, kedengaran salam dari belakang.

“ Assalamualaikum.. excuse me..” kedengaran suara garau dari belakang. Suchi yang mula-mula menyedari sapaan itu terus menyiku lengan kakaknya. Qaseh dan Hakim berpaling serentak ke arah sapaan itu. Rona merah di pipi Qaseh jelas kelihatan setelah melihat empunya diri yang memberi salam. Hakim memulakan sesi beramah mesra.

“ Waalaikumussalam. Yes, what can i do for you?”, ayat bahasa Inggeris budak darjah satu mula meniti di bibir Hakim. Berlagak pandai la tue (^_^).

“ I want to give this bread to your elder sister. Look like your sister is pregnant, it isn’t?” Garlic bread mula bertukar tangan. Hakim yang kelihatan kehairanan mula menganggukkan kepala sambil mengucapkan terima kasih di atas pemberian pemuda tersebut.

‘Entah faham entah tak si akim  ni. Lagak macam faham, tapi for sure apa yang dituturkan oleh abang tadi hanya masuk telinga kanan terus keluar ikut telinga kiri’ telah Suchi Ramadhani di dalam hati.

Rasa malu yang menerjah sebentar tadi mulai pudar saat mendengar kata-kata dari pemuda tersebut.

“ Mentang-mentanglah aku pakai abaya yang besar gedabak nie, dia cakap aku tengah pregnant. Rabun dekat  gamaknya muslimin tu”, ayat protes yang berbaur marah keluar dari bibir Qaseh tanpa disedari. Qaseh segera beristighfar setelah tersedar dari kata-katanya  yang agak lancang sebentar tadi.

Usapan berkali-kali di bahu membawanya kembali ke alam nyata.

‘Mengelamun rupanya’, getus Qaseh di dalam hati. Dia segera tersenyum ke arah umminya.

“ Astaghfirullahala’zim, kenapa kakak asyik mengelamun je nie. Sejak turun dari puncak Jabal Rahmah sehinggalah dah sampai di kaki bukit ni , ummi tengok kakak duk mengelamun je.. Kakak ada masalah ke??”, sifat keibuan jelas terserlah dalam tutur kata dan tingkah laku Puan Raudhah. 

“ Uchi rasakan tak lama lagi ummi akan dapat menantu la”, duga Suchi Ramadhani sambil mengenyit mata ke arah kakaknya. Qaseh Ramadhani menampar lembut bahu adiknya sambil mengeleng-gelengkan kepala ke arah umminya. Suchi Ramadhani yang muda 10 tahun dari Qaseh kelihatan lebih matang berbanding dengan kawan-kawan  yang seusia dengannya.

“ Tidak ada apa-apa lah ummi, semuanya ok”, nadanya berbaur ceria.

Sebelum menaiki bas, mereka sempat bergambar berlatarbelakangkan Jabal Rahmah dan sesekali posing di sisi unta yang terhias cantik. Kerlingan dari pengembala unta yang agak kurang senang dengan tindakan mereka bergambar di sisi untanya mendorong mereka untuk menamatkan sesi bergambar. Kesyukuran dipanjatkan kerana mereka berpeluang untuk menziarah ke tempat-tempat bersejarah di bumi anbiya’ ini.

Bas bergerak untuk ke tempat-tempat lain. Qaseh merenung  ke arah tugu yang berada di puncak Jabal Rahmah. Tempat pertemuan kembali Adam dan Hawa setelah berpisah jauh dan lama setelah dicampak ke muka bumi. Tugu kasih sayang dan lambang cinta terindah antara Nabi Adam a.s dan permaisuri hati, Siti Hawa a.s.

Bas melewati Mudzalifah dan Mina, ternampak khemah-khemah kosong yang hanya akan disesaki semasa musim haji. Di tiga jamrah, bas berhenti sebentar. Ustaz Fadzli mula menerangkan kepentingan melontar dalam ibadah haji. Ahli jemaah kusyuk mendengar penerangan dari Ustaz Fadzli.

“ Di sinilah Nabi Ibrahim a.s diganggu oleh syaitan laknatullah semasa dalam perjalanan untuk mengorbankan anak kesayangannya, Nabi Ismail a.s. Maka, baginda melontar batu-batan ke arah syaitan laknatullah agar tidak mengacau dan menganggu-gugat perjalanannya untuk melaksanakan perintah dari Allah swt . Apa yang dapat kita simpulkan di sini bahawa kita sebagai hamba wajib berkorban demi Islam demi Allah swt. Tiga balas tahun Nabi Muhammad berhijrah ke Mekah semata-mata untuk memacakkan paksi tauhid ke dalam diri umat Islam. Berapa ramai umat Islam kini yang betul betul berpegang kepada tali Allah swt. Tak perlu nak menuding jari ke arah orang lain, jika kita sendiri masih kedengkelan ilmu. Masih di takuk lama”, tegas dan kemas butir bicara Ustaz Fadzli.

Dalam perjalanan ke Ja’ranah, tergiang-giang  butir bicara Ustaz Fadzli semasa ziarah tadi. Kata-kata yang dilontarkan oleh Ustaz Fadzli mula menjentik mata hati Qaseh. Betapa indahnya kehidupan jika berpaksikan tauhid Allah swt. Betapa lazatnya ibadah yang dilakukan dengan penuh keikhlasan dan niat hanya keranaNya. Kita diciptakan oleh Allah swt hanya untuk taat serta beribadat kepadaNya dan bukan dilahirkan di muka bumi ini untuk mencabar kuasaNya.

Yang Teristimewa..

Sajak yang simple tetapi bermakna ini khas ditujukan kepada orang yang teristimewa di hati.


Kau umpama penyajak

Yang setia meriangkan hatiku yang lara

Kau umpama bunga-bunga Sakura

Senantiasa mewangi di hatiku

Kau umpama bantal hati berona merah terang

Ku peluk erat merasai hadirnya engkau

Kau umpama coffee KOPIKO

Ku perlukanmu untuk menemani saat jagaku

Kau umpama Biskut Tausa

Kenangan kita mekar di hati

Kau umpama Kamus Digital Dr.‘Asmara Ini’ (^_^)

Yang setia menolongku di kala duka

Kau umpama Kaunselor

Kata-katamu mampu menenangkan jiwaku yang kusut

Kau umpama Nasi Impit & Kuah Kacang

Yang selalu ku ingati hati budimu

Kau umpama Jem Coklat Nutella

Yang manis menyayangiku

Acapkali hati ini teringat

Air mata beranak di tubir mata

Ku genggam erat lakaran kenangan

Menemaniku seiring denyutan jantung ini

Kalian memori terindah

Terima kasih Ya Rabb

TakdirMu ku syukuri selamanya.