Ceritera cinta 

“Biey, bagaimana perasaan bercinta lepas kahwin?”, tanya seorang sahabat  jumaat lepas.

“Alhamdulillah, sangat2 best”, ujar ana ceria

 
“Bagaimana nak mencari keserasian walhal biey tak pernah bercinta dengan suami biey sebelum kahwin?”, tanya sahabat ana lagi.

“InsyaAllah, kalau kita jaga perhubungan sebelum kahwin, Allah akan melahirkan keserasian antara suami isteri seusai akad nikah dilafazkan. Perasaan sayang terus terlahir di hati”, bicara ana lagi sambil terbayang wajah si suami yang jauh di semenanjung. 

“Kenapa akak tanya pasal hal ni?”, tanya ana pula

“Cuti nanti, ada orang nak datang merisik. Tapi akak tak pernah tengok dan kenal muslimin tu”, jelas kebimbangan terukir di wajahnya. 


“Owhh..makan nasi minyak la biey nanti kan?kan?hehehe..insyaAllah. Yang penting sekali akak kena tengok peribadi dia. Adakah dia sesuai untuk menjadi seorang imam kepada keluarga yang akan dibina kelak??? 

****************

MENCARI SEORANG IMAM

Firman Allah swt dalam surah at-Tahrim ayat 6 : "Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkannya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintah."

Kalau kita hayati frasa “ Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka”, tanggungjawab seorang suami bukanlah sesuatu yang boleh dipandang enteng. Suami bukan sahaja perlu menjaga dirinya sendiri tetapi perlu melindungi isteri dan anak-anak dari api neraka kelak. Suami adalah imam kepada isteri dan anak-anak. 

Dalam mencari pasangan hidup, kebanyakan individu memilih kecantikan/kekacakan wajah sebagai syarat utama pemilihan. Kekacakan/kecantikan wajah tidak mencerminkan keimanan seseorang. Kekayaan seseorang juga tidak menzahirkan ketakwaan seseorang individu tersebut. Tetapi mempunyai peribadi mulia merupakan cermin keimanan seseorang individu. 

Buat seorang wanita, mencari seorang lelaki yang layak untuk menjadi imam untuk keluarga yang akan dibina bukanlah sesuatu yang mudah. Mungkin ramai wanita bertanya bagaimana untuk memastikan lelaki tersebut layak sebagai seorang imam yang baik? Adakah melihat kekerapannya pergi ke masjid? Atau kepetahan berbicara saat menyampaikan tazkirah? Bagi ana, lelaki itu sesuai untuk menjadi imam kepada keluarganya apabila melihat keberkesanannya memimpin si isteri dan anak-anak untuk sama-sama mengharungi kehidupan di atas landasan agama. 

Mungkin kita tidak dapat menilai kepimpinan si lelaki tersebut selagi kita tidak mendayung bahtera kehidupan yang dipanggil alam perkahwinan bersama-sama dengannya kan?

Bagi ana, kayu ukur yang paling sempurna untuk menilai seseorang lelaki tersebut ialah berdasarkan kualiti akhlak mahmudah yang terdapat pada dirinya. Sebelum berkahwin, kita hanya dapat menilai pasangan kita dari sudut layanannya kepada orang tua terutama ibu bapanya, dari segi hubungannya dengan sahabat-sahabatnya dan tidak terkecuali dari pemakaian dan percakapannya. 

Dan apabila melangkah ke alam perkahwinan, si isteri mesti menerima segala kelemahan si suami. Jika si suami seorang yang panas baran, si isteri perlu banyak bersabar dan sedaya upaya untuk tidak menaikkan suhu amarah si suami. Perlu saling lengkap melengkapi agar keharmonian rumahtangga sentiasa terpelihara. 


Tapi saya yakin seorang lelaki yang mempunyai kemuliaan akhlak akan sentiasa berbuat baik kepada isteri dan anak-anaknya namun akan bertegas apabila melibatkan hal-hal agama dan seterusnya membimbing isteri dan anak-anak menuju ke syurga yang kekal abadi. 

Tuntasnya kita perlu yakin, jodoh yang ditentukan Allah merupakan cermin keperibadian kita. Ini bertepatan dengan Firman Allah dalam surah An-Nur ayat 26 “Perempuan yang jahat untuk lelaki yang jahat dan lelaki yang jahat untuk perempuan yang jahat, perempuan yang baik untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik untuk perempuan yang baik”. Untuk mendapatkan suami/isteri yang soleh/solehah, kita perlu baiki diri untuk menjadi soleh/solehah dulu sebelum melangkah ke alam perkahwinan. InsyaAllah, semua orang layak untuk mendapatkan pasangan yang soleh/solehah. 



~~ DOA MEMOHON PASANGAN DAN KETURUNAN YANG SOLEH~~
 
“Wahai Tuhan kami, kurniakanlah kepada kami isteri dan keturunan yang menjadi penenang hati (kami) dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertakwa.”